Nota Kaki (3/11/16)

Salam.

Setelah sekian lama, akhirnya cerita baru untuk kalian! Oh ya, dalam cerita ni aku ada guna dua watak dari cerita sebelum ni. Yang pertama dari cerita Aku VS Empat lelaki dan satu lagi dari cerpen Terakhir.

Apa-apa pun, enjoy semua!

TERBARU!
Enam (3)


Friday, January 4, 2013

Teman Pengganti


“Abang berangan pasal apa tu?”

                Asyriq tersentak. Dia pandang ke arah suara itu. Sejuk hatinya memandang wajah manis Fiona. Fiona, isteri yang baru dinikahinya lima bulan lepas. Fiona, isteri ceria yang menceriakan hari-harinya yang suram.

                “Abang ingat pasal sayang lah,” jawab Asyriq.

                Fiona ketawa manja. Fiona sandarkan kepalanya di bahu Asyriq. Asyriq membelai rambut Fiona penuh kasih sayang.

                “Fi,” panggil Asyriq.

                “Hmm,” jawab Fiona.

                “Abang cintakan Fi sangat-sangat. Fi satu-satu wanita di hati abang,” ujar Asyriq.

                “Tipu,” Fiona angkat kepala dari bahu Asyriq.

                Asyriq tersentak dengan reaksi Fiona. Kenapa dengan Fiona ni? “Fi…”

                “Habis, mak abang tu bukan wanita ke?” Fiona gelak.

                Asyriq turut tergelak. Fiona ni buat lawak pula. Memanglah mak dia wanita. Dia hanya nak jadi romantis harini.

                “Mak abang dan Fi, dua wanita yang mendapat carta tertinggi dalam hati abang. Tanpa dua wanita ni, abang tak mungkin dapat bertahan sehingga sekarang. Terima kasih sebab hadir dalam hidup abang, Fi. Terima kasih sebab Fi, abang mampu bertahan sehingga sekarang,” ujar Asyriq romantis.

                Fiona senyum, “abang pun. Fi cintakan abang dengan sepenuh hati Fi.”

                Asyriq senyum. Fiona sandarkan kepalanya ke bahu Asyriq sekali lagi. Asyriq belai rambut Fiona kembali. Dan tanpa disedari Fiona, air mata Asyriq mengalir. Air mata yang hanya Asyriq dan pencipta-Nya sahaja yang tahu maksud di sebalik air mata itu.

 * * *


                Asyriq tolak troli penuh dengan barang-barang. Fiona ni kalau membeli-belah nombor satu. Dia juga yang jadi tukang tolak troli. Tapi Asyriq tak kisah, dia akan buat apa sahaja yang Fiona mahukan selagi dia mampu.

                “Abang nak air soya ke air cincau?” Fiona tunjukkan sekotak air soya dan sekotak air cincau kepadanya.

                Asyriq buat-buat berfikir sekejap. Fiona sabar menunggu keputusan Asyriq.

                “Hmm abang nak soya,” ujar Asyriq.

                “Tapi Fi nak cincau,” Fiona buat muncung.

                Asyriq gelak. “Cincau pun boleh. Abang tak kisah.”

                Fiona sengih, “kita ambil dua-dua je lah.”

                Asyriq tarik hidung Fiona lembut. Fiona gelak sambil letakkan kedua-dua kotak air itu ke dalam troli. Kemudian Fiona berlalu.

                Asyriq tersenyum bahagia. Dia bahagia dengan hidupnya sekarang. Kalau boleh, dia nak selamanya begini. Dia tak nak berubah sedikit pun. Tetapi apakan daya, dia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan dan Asyriq percaya Allah telah menentukan apa yang terbaik untuk dia. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Asyriq percaya.


 * * *

                Asyriq pegang kepalanya. Kepalanya sakit sangat. Sakit yang tidak dapat dia tampung. Asyriq cuba sedaya upaya tidak mengeluarkan sebarang suara. Dia tak nak Fiona dengar dia sedang kesakitan. Asyriq tak nak Fiona tahu dia sedang sakit. Asyriq pegang selimutnya. Dia genggam kuat-kuat selimut itu.

                Dia tahu semua ini akan hilang juga. Kesakitan ini akan hilang sekejap lagi.

                Pintu biliknya dibuka dari luar. “Apa abang buat dalam bilik lama sangat ni?”

                Fiona pandang Asyriq. Dia nampak wajah pucat Asyriq. Dia segera mendapatkan Asyriq. “Abang kenapa? Abang sakit apa?”

                Walaupun sedang sakit, Asyriq tetap menguntum senyuman kepada isterinya itu. “Abang hanya pening sedikit.”

                “Abang…”

                “Abang tak apa-apa. Fi jangan risau. Sekejap lagi, abang okay lah ni. Fi keluar dulu. Sekejap lagi abang keluar,” ujar Asyriq.

                Fiona pandang Asyriq. Asyriq angguk sambil tersenyum cuba meyakinkan Fiona. Akhirnya Fiona keluar juga dari bilik itu. Asyriq pandang Fiona yang hilang di sebalik pintu itu.

                “Maafkan abang, Fi.”

 * * *


                Fiona nampak Asyriq sedang khusyuk menulis sesuatu. Seperti sedang menulis warkah. “Abang tulis apa tu?”

                Asyriq cepat-cepat sorokkan kertas itu dari pandangan Fiona. Fiona pelik dengan reaksi Asyriq itu. Kenapa perlu menyorok dari dia?

                “Abang tulis apa tu? Kenapa nak sorokkan dari Fi?” soal Fiona.

                “Tak ada apa-apa,” jawab Asyriq.

                “Kenapa perangai abang lain macam sekarang? Kenapa abang suka sangat terperap dalam bilik ni? Kenapa abang suka berahsia dari Fi? Apa yang abang sorokkan dari Fi?” soal Fiona bertalu-talu.

                Memang sejak kebelakangan ni Asyriq suka sangat duduk dalam bilik. Entah apa yang dia buat, Fiona sendiri tidak tahu. Bila ditanya, Asyriq selalu cakap tak ada apa-apa.

                “Tak ada apa-apa lah Fi,” jawab Asyriq.

                “Abang asyik jawab benda yang sama. Tak ada apa-apa! Tak ada apa-apa! Tapi Fi yakin mesti ada apa-apa! Abang, bagitahu Fi sekarang apa yang abang sorokkan,” Fiona sudah naik angin.

                Asyriq gelengkan kepalanya.
               
                “Abang ada perempuan lain eh?” soal Fiona.

                Asyriq tersentak, “Fi. Apa yang Fi cakap ni?”

                “Habis, kenapa abang berahsia sangat dengan Fi? Abang dah tak sayangkan Fi lagi. Abang dah lupa dengan cinta kita,” marah Fiona.

                “Abang tak ada perempuan lain. Abang sayangkan Fi. Fi yang melengkapkan hidup abang,” ujar Asyriq.

                “Kalau betul abang cintakan Fi lagi, bagi kertas dekat tangan abang tu,” suruh Fiona.

                Asyriq mengeluh, “Kertas ni abang tak boleh bagi dekat Fi.”

                “Kenapa?” soal Fiona.

                “Sebab…” Asyriq tidak dapat mencari alasan yang bagus.
               
                “Dan nampak sangat abang ada perempuan lain. Abang jahat! Kenapa abang buat Fi macamni?” soal Fiona.

                “Fi, abang cintakan Fi,” ujar Asyriq.

                “Fi bencikan abang. Fi benci abang!” Fiona berlari keluar dari bilik itu.

                Asyriq nak kejar Fiona tetapi tiba-tiba kepalanya terasa sakit sangat. Terlalu sakit sehingga dia terjatuh di lantai. Dia rebah dan langsung tidak sedarkan diri.

 * * *


                Fiona pandang ibu dan ayahnya. Dia memang tidak puas hati dengan suaminya. Sudah lima jam dia lari dari rumah tetapi dia langsung tidak mendapat sebarang mesej atau panggilan daripada suaminya. Apakah tekaannya selama ini betul? Suaminya ada perempuan lain?

                “Pergilah balik rumah kamu Fi. Tak baik seorang isteri meninggalkan suami di rumah seorang diri. Baliklah,” suruh ibu Fiona.

                “Betul tu. Tengoklah apa yang terjadi dekat rumah kamu. Ayah tak sedap hati,” ujar ayah Fiona pula.

                Fiona mengeluh. Mungkin dia terlalu ikutkan perasaannya.

                “Kamu tak pernah bergaduh dengan Asyriq sebelum ni. Mungkin ini semua sebab kandungan kamu,” nasihat ibu Fiona lagi.

                Fiona angguk. Betul juga kata ibunya. Dia langsung tak pernah bergaduh dengan Asyriq sebelum ni. Tapi entah kenapa, harini dia rasa sensitif sangat. Niat dia tadi nak bagitahu Asyriq tentang kandungannya yang sudah masuk lima minggu tetapi lain pula jadinya. Dia tiba-tiba cari pasal dengan Asyriq.

                “Fi balik dulu, ibu, ayah,” Fiona salam dengan ibu bapanya.

                Ibu dan Ayah Fiona angguk. Fiona capai kunci kereta dan melangkah ke keretanya. Dia akan balik. Dia akan minta maaf kepada suaminya tentang tadi dan dia akan memberitahu berita gembira ini kepada Asyriq. Asyriq pasti gembira.


 * * *

                “Abang,” panggil Fiona.

                Fiona letak kunci kereta di atas meja. Fiona mencari suaminya itu. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Dan serentak itu, jantungnya bagaikan gugur.

                “Abang!!”

                Fiona segera mendapatkan suaminya yang terbaring lemah di atas lantai. Fiona goncangkan badan suaminya. Air matanya mengalir laju.

                “Abang! Bangun!” ujar Fiona teresak-esak.

                Telefon bimbit suaminya dicapai dan dia segera mendail nombor kecemasan. Dia dah tak tahu apa nak buat. Sementara menunggu bantuan tiba, Fiona mendekati Asyriq.

                “Abang, bangunlah. Abang pernah janji dengan Fi abang takkan tinggalkan Fi. Abang dah janji dengan Fi, abang akan cintakan Fi sampai bila-bila. Abang, macammana Fi nak hidup tanpa abang? Bangunlah bang.” Fiona pegang perutnya, “anak kita perlukan abang. Tolong jangan buat Fi dan anak kita macamni. Bangunlah bang.”

                Walau sekuat mana pun tangisan Fi, keadaan takkan berubah. Semuanya telah diatur oleh pencipta kita. Asyriq pergi takkan kembali lagi.





                Fi ona rasa kosong sangat dalam dirinya. Terlalu kosong. Fiona bergerak ke almari baju Asyriq. Almari dibuka. Baju-baju Asyriq kemas tergantung di situ. Fiona tarik satu dan terus bawa baju itu ke hidungnya. Dia amat rindukan Asyriq. Terlalu rindu.

                Fiona buka laci meja soleknya. Dia keluarkan kertas yang sering dibawa ke mana-mana. Fiona melangkah ke arah katilnya. Dia baring di situ. Baju dibawa ke hidung. Ketas dibuka dan dibaca sekali lagi.

ISTERIKU,
                Di saat sayang membaca surat ini, abang sudah tiada lagi di bumi ini. Abang sudah berada di kehidupan lain.

                Fi, kehadiran Fi bagaikan sesuatu yang mampu mengubat hati abang. Fi bagaikan cahaya yang menerangi hari-hari abang. Abang cintakan Fi sangat-sangat. Tidak sekalipun, abang berasa was-was dengan Fi. Cinta abang pada Fi tidak dapat ditandingi oleh Sang Romeo dan Sang Juliet. Tapi cinta abang juga tidak sehebat cinta Adam dan Hawa.

                Abang manusia biasa. Dan kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Abang akan pergi juga satu hari nanti. Abang tak dapat menjangkakan masa hadapan kerana abang hanya manusia biasa.

                Maafkan abang kerana tidak memberitahu Fi mengenai keadaan abang. Abang tidak mahu menyusahkan Fi.

                Setelah tiga bulan abang berkahwin dengan Fi, abang dapat tahu abang ada penyakit barah otak tahap terakhir. Sudah tiada apa yang mampu abang lakukan. Doktor hanya menjangkakan abang dapat hidup selama sebulan sahaja tetapi kerana Fi, abang mampu hidup lebih dari sebulan. Kerana Fi adalah nadi abang.

                Fi, hidup ini harus diteruskan. Abang nak Fi teruskan hidup Fi. Berkahwin. Mendapat anak. Dan hidup bahagia selamanya. Jangan disebabkan abang, Fi hidup menderita. Abang nak Fi hidup bahagia. Itu sahaja yang abang nak dari Fi.

                Abang nak Fi cari teman pengganti abang dan hidup bahagia selamanya bersamanya.

                Abang cintakan Fi sampai akhir nafas abang.

SUAMIMU.

                Dan sekali lagi, Fi tertidur dengan surat dan baju Asyriq.


 * * *

                5 TAHUN KEMUDIAN

                Terlalu banyak perkara yang telah Fiona belajar dari semua ini. Hari ini sudah 5 tahun Asyriq pergi meninggalkan dia. Setiap bulan Fiona pasti akan datang menziarahi kubur ini.

                “Mama, jangan menangis.”

                Fiona berpaling ke arah suara itu. Suara seseorang yang sangat disayanginya. Seseorang yang menjadi permata hatinya. Asriq.

                “Mama tak menangis lah,” ujar Fiona.

                “Ayah, Asriq tak pernah jumpa ayah tetapi Asriq sayangkan ayah. Walaubagaimanapun, Asriq akan sayang ayah,” ujar Asriq sambil menabur bunga di atas pusara itu.

                Fiona kesat air matanya yang mengalir. Bahunya dipegang dari belakang. Fiona pandang belakang.

                “Fi okay?”

                Fiona angguk. Dia bangun dari duduknya. Asriq turut bangun. Mereka bertiga melangkah keluar dari kawasan perkuburan itu.

                ‘Abang, Fi bahagia sangat. Fi ada Asriq, anak kita. Fi ada Hazeem yang sayangkan Fi seadanya. Fi ada abang. Fi tahu abang sedang tersenyum gembira. Abang, Fi gembira dengan hidup Fi. Abang pun bergembiralah di alam sana.’

                Fiona berkahwin dengan Hazeem empat tahun setelah pemergian Asyriq. Hazeem, lelaki yang tidak pernah putus asa untuk mengenalnya. Hazeem yang sentiasa ada untuk dia. Hazeem, lelaki yang menerima dirinya seadanya. Hazeem, lelaki yang mencintainya dengan sepenuh hatinya.

                Fiona bahagia. Fiona bahagia dengan Hazeem dan Asriq. Fiona terlalu bahagia sehingga sukar untuk dia ungkap dengan kata-kata.  

No comments:

Post a Comment