Nota Kaki (3/11/16)

Salam.

Setelah sekian lama, akhirnya cerita baru untuk kalian! Oh ya, dalam cerita ni aku ada guna dua watak dari cerita sebelum ni. Yang pertama dari cerita Aku VS Empat lelaki dan satu lagi dari cerpen Terakhir.

Apa-apa pun, enjoy semua!

TERBARU!
Enam (3)


Thursday, January 24, 2013

Kerana Cinta 1


KRINGG! Loceng yang menandakan waktu persekolahan sudah tamat sudahpun berbunyi. Tidak mahu menunggu lama, Zizan memasukkan alat tulis ke dalam bekas penselnya dan kemudian disimpan di dalam beg jenama Converse kepunyaannya. Converse? Ala, Converse yang beli dekat Jalan Chow Kit tu je.

            Selepas mengucapkan terima kasih kepada cikgu, Zizan lantas keluar dari kelasnya. Dia berjalan pantas menuruni tangga. Di bawah tangga, kelihatan AG (Amir Bin Ghazali) dan Irfan yang menunggunya.

            Oh ye, AG dan Irfan merupakan kawan baiknya sejak dia masuk tadika lagi sehinggalah sekarang. Selalunya mereka satu kelas. Tapi apabila masuk tingkatan empat, Zizan ditempatkan di dalam kelas Sains 1 manakala AG dan Irfan di kelas Sains 2.  Yang membezakan hanyalah Sains 1 mengambil 10 subjek dan Sains 2 mengambil 9 subjek.

            "Lambatnya kau," komen AG.

            "Lambat ke? Ala, kelas aku dekat tingkat atas sekali. Kelas korang tingkat satu, bolehlah," jawab Zizan.

            AG dan Irfan tersengih.

            "Siapa suruh pilih kelas Sains 1," balas Irfan.

            "Sebab aku nak ambil 10 subjek lah. Senang nak dapat scolarship tahu tak. Lagipun kalau tiba-tiba aku tak boleh bawa subjek Bio, aku boleh drop sebab aku ambil subjek Akaun juga," ujar Zizan.

            "Eleh kau tak boleh bawa subjek Bio? Bukan kau nombor tiga terror ke subjek tu dalam kelas kau?" soal AG.

            "Nombor tiga je. Bukannya nombor satu," jawab Zizan.

            "Tetap pandai juga. Lainlah kitorang. Aku budak nombor tiga lemah dalam subjek Bio dalam Sains 2, tahu tak?" ujar Irfan.

            "Eh dahlah. Jomlah balik. Karang hujan, susah pulak. Ni pun aku tengok mendung semacam je. Kalau hujan, alamatnya kena gosok bajulah balik ni," seloroh Zizan.

            "Kenapa pulak?" soal AG.

            "Ye lah. Aku kan pakai baju dua hari satu helai. Kalau basah, nak tak nak kena gosok juga lagi sehelai baju," ujar Zizan.

            "Pemalas betul kau ni, Zan. Tapi malas-malas kau pun, kau pandai kan. Kau pakai ilmu apa ha?!" soal Irfan.

            "Aku pakai ilmu putih," jawab Zizan selamba.

            Dan mereka bertiga tergelak. Mereka berjalan ke arah basikal mereka yang diletakkan di trek lumba lari. Basikal Zizan warna hijau, basikal AG warna merah dan basikal Irfan warna biru.

            "Kita lumba nak? Siapa last sampai, kena belanja esok!" ajak AG.

            "Okay. Kita lumba sampai simpang nak masuk rumah kita tu je. Apa macam Zan?" Irfan angkat kening.

            "Aku tarak hal punya!" jawab Zizan.

            Lalu mereka bertiga mula mengayuh basikal mereka. Lima minit sahaja, mereka sudahpun sampai.

            "AG belanja esok!" jerit Irfan.

            "Yay!Esok makan percuma!" jerit Zizan pula.

            "Aduh, habis duit aku," rungut AG.

            Irfan dan Zizan tergelak melihat wajah AG yang masam mencuka.

            "Esok bawa duit lebih tau, AG! Aku balik dulu. Petang main bola kalau tak hujan," ujar Irfan.

            "Ye lah! Aku pun balik dulu," balas AG.

            "Jumpa petang nanti," ujar Zizan.

            Lalu mereka bertiga pulang ke rumah masing-masing. Rumah mereka biasa je. Rumah teres dua tingkat. Cuma rumah AG je rumah corner lot. Jadi halaman besar. Rumah Zizan dengan Irfan dekat bahagian tengah-tengah. Jarak rumah diorang pun tak adalah jauh sangat. Rumah Zizan selang tiga buah dari rumah AG manakala rumah Irfan di hadapan sebelah rumah Zizan.

* * *

            Zizan mendapatkan AG yang sudahpun duduk di bangku. Botol air di tangan AG dirampas dan diteguk.

            "Woi, apa ni rampas-rampas? Nak bawa sendiri lah," ujar AG.

            Zizan tersengih. Dia hulurkan kembali botol air itu kepada AG.

            "Kedekutlah kau. Macam tak biasa pula. Kita hidup ni kena berkongsi-kongsi tau. Tak baik kedekut, nanti rezeki tak datang," balas Zizan.

            "Ye lah. Aku gurau je lah. Bukan ke aku ni tukang sponsor air untuk kau?" perli AG.

            "Wah, memerli nampak!" kata Zizan.

            "Eh terasa ke?" AG angkat kening.

            Zizan dan AG tergelak.

            "Eh si Irfan tu tak penat-penat ke? Aktif betul dia tu. Banyak stamina," ujar AG.

            "Dah kau tengok lah Irfan tu siapa. Atlet harapan sekolah," ujar Zizan.

            "Irfan!" jerit AG.

            Irfan yang berada di tengah padang menoleh ke mereka.

            "Sini lah!" jerit AG lagi.

            Irfan berlari ke arah AG dan Zizan. Dia tidak terus duduk. Dia buat senaman sejukkan badan.

            "Nak balik dah ke?" soal Irfan.

            "Ye lah. Kau tengok sekarang dah pukul berapa," jawab AG.

            "Sekarang pukul berapa?" Irfan soal balik.

            AG bulatkan matanya. Irfan tersengih.

            "Aku mana pakai jam lah!" ujar Irfan.

            "Dah pukul 7 lah. Kau tak nampak ke langit dah gelap tu?" Zizan turut bangun.

            "Ye ke? Cepat betul masa berlalu. Rasa macam baru sepuluh minit main bola tadi," keluh Irfan.

            "Woi! Poyo gila ayat kau. Meluat aku dengar," AG buat gaya nak muntah.

            Zizan dan Irfan tergelak.

            "Dahlah, jom balik," ajak Zizan.

            "Jom!" balas Irfan dan AG hampir serentak.

            Mereka bertiga pun berjalan bersama untuk pulang ke rumah mereka.

            "Kita ada homework apa tadi?" soal AG.

            "Nota Kimia, buku kerja Matematik dan Karangan. Tu je lah kot," jawab Irfan.

            "Je?" AG buat muka tak puas hati.

            "Ala relaks lah. Esok bukan ada subjek Kimia pun," ujar Irfan.

            "Ek? Jadi Kimia buat esok je lah," balas AG.

            "Aku pun buat Kimia esok je. Karangan je dah ambil masa sejam lebih. Idea tak datang wei," ujar Irfan.

            Zizan berdehem.

            "Nampak gayanya seperi aku disisihkan," ujar Zizan.

            AG dan Irfan tergelak melihat wajah Zizan yang masam mencuka itu.

            "Tu lah, siapa suruh kau lain kelas dengan kitorang," ujar Irfan.

            "Berapa kali nak cakap? Sebab aku nak ambil subjek Akaun sekali lah," jawab Zizan.

            "Iya Encik Zizan. Esok datang sekolah lambat sikit, nak?" ajak AG.

            "Lambat kau pukul berapa?" soal Irfan.

            "Dalam pukul 7.10?" AG angkat kening.

            "Okay set!" ujar Zizan.

            Mereka kini sudahpun sampai di hadapan rumah AG.

            "Ingat esok bawa duit lebih tau!" pesan Irfan.

            AG buat muka blur.

            "Duit lebih? Kenapa?" soal AG.

            "Eleh, buat-buat tak tahu pulak budak ni!" Zizan geleng-gelengkan kepalanya.

            "Betullah aku tak tahu," ujar AG.

            "Ada juga budak yang makan kaki saiz tujuh ni," ujar Irfan.

            AG tergelak.

            "Ye lah, aku ingat. Kau pasal belanja je, ingat je selalu kan," perli AG.

            "Haruslah," Irfan kenyit mata.

            "Hek eleh, buat muka comel pula atlet ni," usik Zizan.

            "Cemburu cakap!" Irfan jelir lidah.

            "Kalaulah budak perempuan tengok, mesti cair punyalah. Lagi-lagi si Lili tu," AG tergelak.

            "Habislah kau, Fan. Kena menghadap muka Lili tu," usik Zizan lagi.

            "Diamlah. Jangan sebut nama Lili, boleh tak? Meremang bulu roma aku dengar," marah Irfan.

            Zizan dan AG tergelak melihat reaksi Irfan tu.

            "Jangan benci-benci, nanti lama-lama jadi cinta," pesan Zizan.

            "Tak ada maknanya. Dahlah, aku balik dulu. Jumpa esok. Chow!" Irfan melangkah pantas meninggalkan mereka.

            Zizan dan AG masih lagi tergelak melihat Irfan begitu. Lili tu memang peminat Irfan yang paling ekstrem. Pernah sekali tu, Irfan rapat dengan budak perempuan, habis budak perempuan tu dia kerjakan. Last-last perempuan tu pindah sekolah.

            Irfan punyalah marah dengan Lili tapi dia tak boleh buat apa-apa. Ye lah, takkan nak pukul perempuankan? Tak gentle lah kan. Lepas tu, Irfan mana ada rapat lagi dengan mana-mana perempuan sebab dia takut perkara dua tahun lepas itu berulang lagi.

            Hai, perempuan kalau dah cintakan lelaki tu memang sanggup buat apa saja kan.

No comments:

Post a Comment