Nota Kaki (3/11/16)

Salam.

Setelah sekian lama, akhirnya cerita baru untuk kalian! Oh ya, dalam cerita ni aku ada guna dua watak dari cerita sebelum ni. Yang pertama dari cerita Aku VS Empat lelaki dan satu lagi dari cerpen Terakhir.

Apa-apa pun, enjoy semua!

TERBARU!
Enam (3)


Wednesday, May 28, 2014

Kerana Cinta 24

Irfan terkejut mendengar cerita Zizan. Betul, dia memang tak sangka Natalia perempuan jenis macamtu. Kenapa dia tak peraya? Sebab Natalia langsung tak menampakkan seperti itu. Dari segi penampilan, tak pernah pula dia nampak Natalia pakai pakaian yang terlampau menonjol. Ye, mungkin si Natalia tu tak bertudung tetapi pakaian dia semuanya sopan. Tak adalah nampak benda-benda yang tak sepatutnya tu.

            Dari segi dalaman pun, rasanya Natalia tu baik. Sopan je lagaknya. Tapi takkanlah Natalia seteruk tu? Menjadi anak ikan Dato'.

            "Kau biar betul, Zan? Aku tak percayalah," Irfan gelengkan kepalanya.

            Zizan mengeluh. "Kalau boleh, aku pun tak nak percaya. Tapi aku nampak sendiri, Fan. Aku nampak guna mata aku. Bukannya aku dengar dari orang lain."

            "Kau dah tanya dia?" soal Irfan.

            "Dah. Dia langsung tak jawab soalan aku. Dia langsung tak defend diri dia walaupun aku cakap dia macam-macam. Dia cuma menangis dan menangis," jawab Zizan.
           
            Irfan terdiam. Dia pandang Zizan. Wajah Zizan jelas menunjukkan dia ada masalah. Nampaknya, Natalia betul-betul memberi impak yang besar kepada hidup Zizan.

            "Patutlah dulu bila aku luahkan perasaan aku dekat dia, dia freeze. Tak cakap apa-apa. Mungkin selama ni, aku je yang mengharapkan dia tapi dia langsung tidak. Kalau difikir-fikirkan, bukan salah dia.  Aku yang terlebih mengharap. Tanpa aku sedar, orang  yang aku cinta sebenarnya sedang bermadu kasih dengan orang lain," luah Zizan.

            "Dahlah Zizan. Tak guna kau terus sedih macamni. Kalau kau ada jodoh dengan Natalia, tak kira apapun yang berlaku, kau mesti dengan dia. Kau tak perlu rasa sedih macamni. Satu pergi seribu mari," pujuk Irfan.

            "Tapi dalam seribu tu, hanya dia je yang aku cinta," balas Zizan.

            "Wah, dah pandai berpuitis dah," usik Irfan.

            Zizan tersenyum jua.

            "Eh, tersenyum pulak. Haa, ni lah kawan aku. Dah tak payah nak jadi jiwang-jiwang sangat. Perjalanan hidup kita panjang lagi," ujar Irfan.
           
            Zizan tampar belakang badan Irfan. Ni lah buat dia suka kawan dengan Irfan. Irfan tahu macammana nak buat orang tersenyum bila tengah bersedih. Betul. Sebab apa? Sebab Irfan ni sengal. Hehe.

            "Eh, aku lupa nak tanya kau sesuatu," Zizan ubah topik.

            Irfan angkat kening, "apa dia? Nak tandatangan aku?"

            "Tandatangan kau? Kau fikir kau tu famous macam Siti Nurhaliza?" Zizan buat muka meluat.

            Irfan tersengih, "macam Siti tu tak lah. Tapi macam Amy Search tu ada lah."
           
            "Banyak lah kau."

            Irfan dan Zizan tergelak.

            "Apa benda kau nak tanya tu?" soal Irfan.

            "Haritu kau buat photoshoot dengan Lili ek?" soal Zizan.

            Irfan angkat kening, "mana kau tahu?"

            "Aku nampak lah," jawab Zizan.

            "Wow! Tak sangka aku kau baca juga majalah hiburan macamtu kan," Irfan gelak.

            "Budak perempuan dekat office aku yang heboh kata kau masuk majalah. Aku pun tengoklah bila dengar nama kau," terang Zizan.

            "Kira aku ni popular lah jugakkan?" Irfan garu dagunya.

            Zizan jelir lidah, "perah santan sendiri lah woi."

            Irfan gelak.

            "Tu Lili ek?" soal Zizan untuk keberapa kali entah.

            Irfan angguk. "Lili dah jadi artis wei sekarang ni. Lawa bukan main lagi."

            "Cinta lama berputik kembali," Zizan gelak.

            "Cinta apa kebendanya? Aku kawan je lah dengan dia," ujar Irfan.

            "Dia still minat dekat kau lagi?" soal Zizan.

            "Dia? Minat aku? Memang tak lah wei. Sekarang ni dia dah jadi artis, ramai orang minat dia. Memang tak lah dia nak minat aku ni. Muka tak seberapa. Duit pun tak seberapa," ujar Irfan.

            "Oh kiranya, dia dah tak minat dekat kau, tapi kau pula yang minat dekat dia. Macamtu?" usik Zizan.

            "Tak ada maknanya. Dah, kau tak payah nak buat gossip. Karang tersebar dalam berita, kesian Lili. Dah lah dia artis baru. Nanti semua perempuan cemburu dekat dia. Ye lah, aku kan ramai peminat perempuan," Irfan gelak.

            Zizan turut tergelak. Irfan-Irfan! Ada-ada je idea dia nak kenakan orang. Hai, pergilah engkau masalah. Datanglah engkau kebahagiaan.


           

* * *

            Air mata yang mengalir hanya dibiarkan sahaja. Dia malas mahu mengesat sebab tak ada gunanya. Macammana dia kesat pun, air matanya tetap mengalir tanpa henti. Lebih baik dia biarkan sahaja.

            Sungguh dia sedih sangat. Perasaan sedihnya memang tak boleh dan tak mampu untuk dia selindung. Selama ni, dia cuba berlagak kuat. Dia cuba untuk tidak menangis bila orang lain kutuk dirinya. Bila ramai orang cakap dia ni tak ubah seperti perempuan murahan, dia masih mampu tahan dari menangis.

            Tapi apabila Zizan yang kata begitu, sungguh dia tak dapat menahan perasaannya. Sungguh dia sedih. Dia rasa diri dia hina sangat. Dia rasa macam dia ni wanita paling tidak bermaruah.

            Pintu rumahnya dibuka dari luar. Natalia cepat-cepat kesat air matanya. Dia bangun.

            "Natalia, are you okay? Kenapa I telefon you, you tak jawab?"

            Dato' Farizal mendapatkan Natalia. Dia sedikit terkejut melihat keadaan Natalia yang tak terurus itu. Rambut kusut masai. Muka sememeh.

            "Natalia?"

            Dato' Farizal cuba pegang muka Natalia tetapi Natalia cepat-cepat menepis. Cukup. Dia perlu akhirkan semua ni. Dia perlu tamatkan segala-galanya. Dia harus betulkan keadaan kembali.

            "Kita tamatkan semua ni," ujar Natalia.

            Dato' Farizal terkejut.
           
            "Semua ni sepatutnya tak terjadi. Semua ni tak betul. You sedar tak? Hidup kita selama ni tak betul. I rasa dah cukup. Kita kena betulkan kembali hidup kita," Natalia bertegas.

            Natalia kesat air matanya yang mengalir di pipi tadi. Tak. Dia tak boleh menangis. Dia kena bertegas. Dia kena akhirkan semuanya harini juga.

            "Apa yang you merepek ni?" soal Dato' Farizal.

            "I tak merepek. Tolonglah faham I. You suami orang. I rasa I kejam sangat dekat isteri you. Merampas you dari dia. I rasa I ni perempuan jahat. Perempuan kejam! Cukuplah selama ni semua orang melabel I sebagai perempuan yang tak ada maruah. Perempuan simpanan. Perempuan murahan! I dah rasa terhina sangat. I rasa jijik sangat dengan diri I. Tolonglah, I nak akhirkan semuanya," rayu Natalia.

            Satu penampar hinggap di pipi Natalia. Natalia terduduk dek mendapat tamparan yang tak disangka-sangka itu.

            "Dasar perempuan tak reti bersyukur! Selama ni, aku bagi kau segala kemewahan. Kau ingat kau mampu tinggal dalam rumah ni kalau bukan sebab aku? Kau ingat kau mampu hidup mewah macamni kalau bukan sebab duit aku? Kau ingat kau boleh dapat kerja kalau bukan sebab pengaruh aku? Dan bila kau dah dapat semuanya, kau nak tinggalkan aku? Dasar perempuan tak reti bersyukur!" tengking Dato' Farizal.

            Natalia bangun. Dia menghadap Dato' Farizal.

            "Ya. I tahu I ni perempuan tak reti bersyukur. You jangan risau. Semua harta yang you kasi I akan I pulangkan. Semua benda yang you belikan untuk I, I akan pulangkan. Semuanya," ujar Natalia.

            Natalia melangkah masuk ke dalam biliknya. Beg rodanya dikeluarkan. Baju-baju yang mana dia beli sendiri, dia masukkan ke dalam beg itu. Kemudian dia tarik beg itu keluar.

            "Kau nak pergi mana?" soal Dato' Farizal.

            "Maafkan I. I tahu I banyak buat salah dekat you. Tapi I nak akhirkan semua ni. Tolong, lepaskan I," ujar Natalia.

            Natalia keluar dari rumah itu. Dato' Farizal tidak bersuara. Natalia melangkah tanpa arah tuju. Sebenarnya dia sendiri tak tahu ke mana harus dia pergi. Betul, dia benar-benar blur.

* * *

            Natalia duduk di situ sambil memeluk tubuhnya. Dia benar-benar kesejukan. Keadaan di situ dahlah hujan lebat, dia pula pakai T-shirt putih dengan seluar trek hitam je. Memang menggigil kesejukan lah dia.

            Dia tak tahu mana nak tuju. Jam pun dah menunjukkan pukul 11 malam. Agak sukar untuk dia mencari teksi memandangkan hujan lebat sangat. Jadi dia hanya mampu duduk memeluk tubuh di perhentian bas ini dan berharap agar ada teksi yang akan lalu.

            Mungkin tindakan yang dia lakukan itu terburu-buru. Mungkin keputusan dia untuk meninggalkan rumah itu pada waktu begini bukanlah keputusan yang baik. Tapi dia tak menyesal. Sedikit pun tidak. Iyalah, sampai bila dia harus hidup begitu? Hidup dengan kemewahan orang lain. Hidup penuh dosa. Hidup tanpa arah tuju. Sampai bila?

            Dia pun nak hidup macam orang lain. Jumpa dengan lelaki yang dicintainya dan berkahwin dengannya. Punya beberapa orang cahaya mata. Dan hidup penuh bahagia. Ya, dia nak hidup macamtu. Hidup yang simple. Tak complicated.

            Walaumacammanapun, nasi sudahpun menjadi bubur. Dia yang memilih jalan hidup begini. Memilih lelaki tua yang kaya sebagai sumber rezekinya. Tetapi sebenarnya, memang tak terlintas langsung dalam hatinya memilih Dato' Farizal sebagai kekasihnya hanya disebabkan duit. Tidak, dia bukan perempuan seperti yang dianggap oleh orang ramai dan Zizan. Dia bukan begitu.

            Segala kemewahan yang dia ada bukan pintanya. Dato' Farizal sendiri yang datang menghulurkan semuanya tanpa disuruh. Jadi masakan dia tolak? Kata orang, rezeki itu tak baik ditolak. Tapi dia juga tak patut menerima rezeki yang diberi sebab ada agenda. Memberi kemewahan kepada dirinya disebabkan ingin berdamping dengannya. Ingin mencuri hatinya.
           
            Benarlah kata orang, manusia akan gelap mata sebab duit. Orang yang baik pun boleh jadi jahat hanya disebabkan duit. Sekarang dia setuju dengan kata-kata itu.

            Sentuhan di bahunya membuatkan dia terkejut. Seram sejuk dirasakan. Meremang bulu romanya. Siapa yang menyentuhnya?

            "Natalia?"

            Perlahan-lahan Natalia memandang ke arah suara itu. Dan kemudian dia menghembuskan nafas lega. Rupanya orang yang menyentuhnya itu ialah Johan. Difikirnya siapa tadi.

            "Buat apa malam-malam dekat sini?" soal Johan.

            "Tunggu teksi," jawab Natalia.

            Natalia berdehem sedikit. Membetulkan suaranya yang sedikit serak.

            "Tunggu teksi? Memang tak lah Natalia hui. Hujan-hujan macamni susah nak dapat teksi. Jom, aku hantar kau balik," pelawa Johan.

            Natalia agak keberatan.

            "Tak apalah. Orang tak nak susahkan sesiapa," Natalia beri alasan.

            "Mana ada susah. Jomlah. Bahayalah perempuan duduk sini sorang-sorang. Macam-macam boleh jadi," ujar Johan.

            Natalia diam. Betul juga apa yang dikatakan Johan tu. Tadi Johan sentuh bahu dia pun, dia dah rasa seram sejuk. Nasib baiklah Johan yang sentuh. Kalau orang lain, entah apalah yang harus dia buat. Akhirnya Natalia angguk.

            "Bagus, jom," ajak Johan.

            Natalia angguk. Mereka berlari ke kereta Johan. Dalam kereta Johan, ada Dira, tunang Johan.

            "Hai," sapa Dira sebaik sahaja kereta Johan bergerak.

            Natalia tersenyum. "Hai. Saya Natalia. Rakan sekerja Johan."

            "Dira. Kawan Johan," Dira memperkenalkan dirinya.

            "Apa pulak kawan? Girlfriend lah," sampuk Johan.

            Natalia tergelak. Dira turut tergelak.

            "Rumah dekat mana, Nat?" soal Johan.

            Natalia terdiam sejenak. Dia nak balik mana ni? Takkan dia nak balik Seremban kot, nanti macam-macam soalan yang harus dijawab dengan emaknya nanti. Habis dia nak duduk mana?

            Melihat keadaan Natalia yang senyap, Dira cepat-cepat memainkan peranan.

            "Kalau Natalia tak ada tempat tinggal, Natalia boleh duduk dengan saya. Lagipun budak yang sewa rumah dengan saya tu pun baru je kahwin dua bulan lepas. Masih tak jumpa orang baru. Tu pun kalau Natalia nak lah," ujar Dira.

            Natalia pandang Dira. Haruskah dia terima? Terima je lah. Kalau tidak, mana lagi dia nak duduk?

            "Nak tak?" soal Dira.

            Natalia angguk.

            "Terima kasih, Dira," ucap Natalia.

            Dira tersenyum, "tak apa. Nanti awak boleh jadi spy saya tengok si Johan ni. Kalau dia menggatal je dengan perempuan lain, terus bagitahu saya."

            Natalia gelak.

            "Apa ni tak percayakan orang?" Johan merajuk.

            "Bukan tak percaya tapi was-was. Eleh, macam orang tak kenal awak tu macammana," jawab Dira.

            "Orang suka-suka je. Hati orang masih dekat awak. Awak jangan risau ye. Sayang saya untuk awak je," Johan kenyit mata.

            "Eh apa ni? Malulah sikit dengan Natalia tu," Dira geleng-gelengkan kepalanya.
           
            "Nak malu apanya kan Nat? Natalia ni dengan si Zizan tu. Kan Natalia kan?" soal Johan.

            Natalia tersentak. Apa pulak tiba-tiba nama Zizan keluar ni?
           
            "Mana ada lah. Saya kawan je dengan dia," ujar Natalia.

            "Malu-malu pulak nak mengaku," usik Johan.

            Dira siku Johan. "Tak payah nak kacau Natalia. Habis malu dia nanti."

            Johan gelak. Natalia hanya melemparkan senyuman tawar kepada mereka. Sekadar menutup perasaannya yang bergetar saat nama Zizan keluar dari mulut Johan.


            Apakah Zizan mampu menerima dirinya setelah Zizan tahu segalanya? Apakah Zizan boleh lupakan segalanya dan kembali ke dia? Bolehkah Zizan memaafkan dia dan mencintainya semula? Jikalau semua jawapan itu ya, Natalia lah orang yang paling gembira sekali dalam dunia ni. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Mahu jadi kenyataan? Entah bila.

No comments:

Post a Comment