Nota Kaki (3/11/16)

Salam.

Setelah sekian lama, akhirnya cerita baru untuk kalian! Oh ya, dalam cerita ni aku ada guna dua watak dari cerita sebelum ni. Yang pertama dari cerita Aku VS Empat lelaki dan satu lagi dari cerpen Terakhir.

Apa-apa pun, enjoy semua!

TERBARU!
Enam (3)


Thursday, May 29, 2014

Kerana Cinta 25

            Hani bergegas ke tempat yang diberitahu sebaik sahaja mendapat panggilan telefon dari entah siapa. Pemanggil itu mengatakan AG dalam keadaan bahaya dan dia hendaklah cepat datang ke situ. Siapa pemanggil itu dia tak peduli. Yang penting keadaan AG.

            Pintu bilik hotel diketuk berulang kali. Kemudian pintu itu dibuka. Bukan AG yang membukanya tetapi Atiq. Mereka berdua terkejut. Kemudian Hani masuk ke dalam bilik itu.

            "Kenapa kau ada dekat sini?" soal Hani.

            "Ada orang cakap kau dalam bahaya. Jadi aku datang sini cepat-cepat. Kau okay ke?" soal Atiq.

            "Aku okaylah," jawab Hani.
           
            Atiq kerut dahi, "tapi kenapa pulak kau datang sini?"

            "Ada orang cakap AG dalam bahaya. Tapi bayang AG pun tak ada dekat sini," jawab Hani.

            Mereka berdua terdiam. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

            "Aku tak sedap hatilah. Apa sebenarnya si pemanggil itu cuba lakukan?" luah Hani.

            Atiq angguk. Dia pun rasa tak sedap hati. Macam ada sesuatu yang akan berlaku. Tapi apa dia?

            Tiba-tiba loceng ditekan dan pintu diketuk.

            "Siapa pulak tu?" soal Hani agak cuak.

            Atiq angkat bahu. Mereka berdua melangkah ke pintu. Pintu bilik dibuka dan...

            "Kami dari jabatan Agama Islam."

            Hani dan Atiq tersentak. Apakah yang sedang berlaku?

* * *

            Hujan lebat bersama kilat yang sabung-menyabung seakan-akan mengerti dengan situasi yang dihadapi mereka semua. Air mata Hani turun selebat hujan yang turun. Kemarahan AG seakan-akan kilat itu.

            "Aku tak sangka kau macamni Hani. Aku fikir aku tahu siapa kau memandangkan kita dah kenal sejak zaman sekolah lagi. Tapi, rupanya aku belum kenal siapa kau yang sebenarnya," AG terduduk di kerusi.

            Hani mendapatkan AG. Kepalanya digeleng-gelengkan.

            "Tak, AG. Aku tak buat semua tu. Aku tak buat. Aku berani bersumpah yang aku tak buat semua tu. Ini semua salah faham," Hani tersedu-sedan.

            AG bangun dari duduknya.

            "Salah faham apa? Dah sah-sah engkau ditangkap bersama dengan dia! Dah sah-sah kau curang dengan aku. Jadi salah faham apanya lagi? Kau tak perlu nak menafikan semuanya. Kau tak perlu. Sebab semuanya dah jelas. Kau memang perempuan jalang!" tengking AG.

            Hani tersentak. Air matanya semakin laju mengalir. Jalang? Sampainya hati AG melabel dia sebegitu rupa. Mengapa AG masih tidak mengenali dirinya? Kenapa cepat benar AG melabel dia begitu? Kenapa?

            "Betul cakap dia. Dia tak buat semua ni! Ada orang yang perangkap kitorang. Kau percayalah cakap dia," sampuk Atiq.

            AG pandang Atiq. Satu tumbukan dihadiahkan kepada Atiq.

            "Kenapa dalam ramai-ramai wanita, kau nak juga dekat tunang aku? Kenapa mesti kau rampas dia dari aku? Kau tak malu ke ha? Dasar jantan tak guna!" tengking AG.

            "AG!" jerit Hani.

            "Argh! Kau dengan perempuan jalang ni boleh pergi mampus! Mulai harini, kita putus Hani! Putus!" jerit AG.

            Hani terkejut.Putus? Putus tunang? Adakah semudah itu AG memutuskan tali pertunangan mereka?

            AG melangkah ke arah keretanya dalam hujan itu. Hani mengejar AG dari belakang.

            "Tak AG! Tak! Kau tak boleh putuskan tali pertunangan kita. Tolong, dengar dulu penjelasan aku. Kau tak boleh sewenang-wenangnya menghukum aku begini! Tolonglah," rayu Hani.

            AG buat tak peduli. Dia masuk ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan dan dia terus meninggalkan Hani di situ yang basah kuyup dalam kehujanan.

            "AG!!" jerit Hani.

            Atiq mendapatkan Hani.

            "Dah lah, Hani! Cukuplah," ujar Atiq.

            "Atiq, kenapa mesti macamni? Kenapa mesti jalan hidup aku begini? Kenapa AG tak nak dengar penjelasan aku?" soal Hani bertalu-talu.

            Atiq diam. Hani menangis teresak-esak. Sungguh dia sedih sekarang! Siapa yang tak sedih apabila cinta hatinya menuduh dia macam-macam dan pergi meninggalkan dia begitu sahaja tanpa sempat dia memberi penjelasan?

* * *
           
            Kereta diberhentikan di hadapan rumah Hani. Atiq menghadap Hani. Air mata Hani masih tumpah. Tidak berhenti-henti lagi sejak tadi.

            "Hani, dah lah tu," pujuk Atiq.

            "Siapa yang perangkap kita, Tiq? Siapa yang nak pisahkan aku dengan AG? Siapa yang buat semua ni Tiq?" soal Hani sayu.

            Atiq geleng kepala.

            "Aku tak tahu, Ni," jawab Atiq.

            "Apa salah aku dekat dia sampai dia sanggup buat aku macamni? Aku sayang sangat dekat AG. Aku sayang sangat dekat dia. Kenapa orang tu sanggup pisahkan aku dengan AG? Kenapa?" tersedu-sedan Hani meluahkan perasaan.

            "Kau sabar, Hani. Aku janji dengan kau aku akan cari orang yang bertanggungjawab. Aku janji dengan kau aku akan pulihkan semua ni. Aku janji, Hani," ujar Atiq.

            "Betul? Kau tak tipu?" soal Hani.

            Atiq angguk. "Aku janji, Hani. Aku akan buat apa je asalkan kau bahagia."

            "Terima kasih, Atiq," ucap Hani.

            Atiq tersenyum. Ya, dia akan buat apa sahaja untuk kebahagiaan Hani. Dia akan lakukan segalanya demi Hani. Sebab apa? Sebab dia cintakan Hani.

* * *

            "Sampai hati dia buat aku macamni, Zan, Fan. Sampai hati dia lukakan hati aku," ujar AG.

            Zizan dan Irfan usap belakang badan AG. Sungguh mereka simpati dengan AG.

            "Tapi kau takkan tak dengar dulu penjelasan dia? Takkan kau tak bagi dia peluang untuk defend diri dia sendiri?" soal Irfan.

            "Untuk apa, Fan? Untuk tambahkan sakit hati aku lagi. Untuk tambahkan kepedihan di hati aku ni lagi? Selama ni memang aku nampak si Atiq tu macam ada perasaan dekat Hani. Tapi aku biar je sebab aku fikir diorang tu kawan. Ye lah, diorang kawan waktu kecik-kecik dulu. Aku tak sangka pulak keadaan boleh jadi macamni. Dalam sekelip mata, kau tahu? Semalam aku baru je keluar dengan Hani. Baru bergurau-senda dengan dia. Dan harini keadaan dah jadi macamni. Betul, aku tak sangka," luah AG lagi.

            "Kau sabar je lah, AG," pujuk Zizan.

            "Aku memang tengah sabar ni. Kalau aku tak sabar, dah lama aku bunuh diorang! Biar puas hati aku," ujar AG.

            "Hoi, jangan! Ingat sikit, kau tu Islam. Berdosa besar kalau kau membunuh," nasihat Irfan.

            "Sebab aku tahu aku ni Islam lah, aku tak bunuh diorang. Fikiran aku pun masih waras. Kalau aku bunuh diorang pun, apa yang aku dapat kan?" ujar AG.

            "Betul betul. Aku sokong kau," ujar Irfan.

            "Apalah nak jadi dengan perempuan zaman sekarang ni kan? Tak tahu malu. Mungkin dunia  ni nak sampai ke penghujungnya," Zizan geleng-gelengkan kepalanya.

            "Kau pun ada masalah dengan Natalia?" soal AG.

            "Entahlah. Mungkin masalah aku tak seberat kau sebab aku ni cuma cinta sebelah tangan. Yang kes kau ni pula cinta dua tangan sebab kau pun dah bertunang dengan dia," jawab Zizan.

            "Maksud kau? Natalia tak cintakan kau?" AG angkat kening.

            Zizan mengeluh, "kalau tak cintakan aku, tak apa lagi. Ini dia simpan lelaki tua."

            AG terkejut. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

            "Perempuan zaman sekarang ni memang dah extreme. Perempuan muda nak lelaki tua. Perempuan tua nak lelaki muda," komen AG.

            "Tapi kita tak boleh salahkan perempuan seratus peratus. Lelaki pun sama. Lelaki muda nak perempuan tua. Lelaki tua pulak nak perempuan muda. Sama je sebenarnya," Irfan back-up kaum perempuan.

            "Betul jugak kan. Mungkin nasib aku je yang tak baik sebab mencintai perempuan macam dia," ujar Zizan lemah.
                       
            "Dan nasib aku yang malang sebab bertunang dengan perempuan begitu," lemah juga suara AG.

            Irfan pandang kedua-dua sahabat baiknya itu silih berganti. Dia simpati kepada mereka. Si Zizan yang susah jatuh cinta akhirnya jatuh cinta kepada orang yang salah. Semua perempuan yang mendekatinya dia tolak. Tetapi bila dia jatuh cinta dengan Natalia, Natalia pula tolak dia. Kasihan.

            Cinta zaman sekolah AG dan Hani juga akhirnya terlerai. Hubungan mereka hanya sehingga ke peringkat tunang. Kasihan dia kepada AG. Mengapa Hani sanggup mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain? Dengan pekerja AG sendiri pula tu. Tapi Irfan nak cakap lebih-lebih pun tak boleh sebab dia sendiri hanya mendengar cerita dari sebelah pihak. Bukan dia tak percaya AG. Cuma manalah tahu semua ni ada mastermind di sebaliknya. Dunia sekarang ni bukan boleh percaya sangat kan.

            "Kau kalau nak jatuh cinta, pilihlah orang yang betul. Kalau tidak, kau jadi macam aku dengan Zizan ni la," ujar AG.

            "Betul tu, Fan. Kau siasat dulu latar belakang perempuan tu. Kalau kau dah cintakan dia sangat-sangat, itu dah parah. Macam aku lah jadinya," nasihat Zizan.

            "Insya-Allah. Doakanlah aku tak jadi macam korang," ujar Irfan.

            "Aku sentiasa doakan kau, Fan," ujar Zizan.

            "Dan aku pun doakan korang dapat perempuan yang lebih baik. Jangan risau. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Percayalah cakap aku," Irfan memberi kata semangat.

* * *

            "You dah baca surat khabar harini?" soal Lili.

            Irfan gelengkan kepala. Memang dia belum baca lagi surat khabar harini sebab dia belum beli lagi. Habis je training tadi, dia terus datang sini. Jumpa Lili. Manalah sempat beli surat khabar.

            "Ada apa dekat surat khabar?" soal Irfan.

            Lili hulurkan Samsung Galaxy Tab dekat Irfan. Irfan sambut.

            "Take a look," ujar Lili.

            Irfan baca artikel yang dibuka Lili itu. Zaman dah moden. Tak payah beli surat khabar pun tak apa. Semuanya boleh dapat dalam satu klik je.

            "Mana diorang dapat gambar kita ni?" soal Irfan sebaik sahaja habis membaca artikel itu.

            Lili angkat bahu. Manalah dia tahu. Aduh, siapalah pula buat gossip kata dia bercinta dengan Irfan ni.

            "Jadi kenapa dengan artikel ni? Biasalah. You kan artis. Mesti ada paparazi nak buat gossip pasal you. Lumrah kehidupan seorang artis," ujar Irfan selamba.

            "You tak marah ke? Tak rasa macam geram?" soal Lili pelik.

            "Nak marah apanya? Nama pun gossip kan. Ala, I fahamlah," jawab Irfan.

            "Nanti peminat you lari, you tak risau?" soal Lili.

            "Peminat yang menyokong I takkan kisah dengan status I," jawab Irfan.

            Lili senyum. Lega bila Irfan tidak sedikitpun menunjukkan riak marah ataupun kesal dengan apa yang berlaku.

            "Lagipun, manalah tahu gossip tu lama-kelamaan akan jadi betul kan? Iya tak?" Irfan angkat kening.

            Jantung Lili berdegup kencang mendengar kata-kata yang lahir dari mulut Irfan itu. Ahh, terlalu mencabar keimanannya. Terlalu menganggu perasaannya.

            Belum sempat Lili membalas atau Irfan bercakap lebih lanjut, satu kumpulan krew rancangan gossip hiburan serbu mereka.

            "Saya ada terima emel mengatakan Lili tergila-gilakan Irfan ketika zaman persekolahan. Orang tu juga cakap Lili pindah sekolah sebab frust dengan Irfan. Betul?" soal wartawan.

            Lili tersentak. Siapa pulak yang hantar emel ni? Mestilah orang tu satu sekolah dengan dia dulu sampai boleh tahu dia tergila-gilakan si Irfan ni. Baru sahaja Irfan mahu membuka mulut menjawab soalan tadi, Lili terlebih dahulu mengeluarkan jawapan.

            "Saya tak nafikan dahulu saya memang minat dekat Irfan. Siapa yang tak minat dekat Irfan ni? Rupa ada. Atlet sekolah lagi tu. Kelas pun science stream. Semua perempuan pasti jatuh hati lah dekat Irfan ni. Tapi waktu tu umur saya masih mentah. Baru sahaja lima belas tahun. Takkanlah saya pindah sekolah hanya disebabkan itu? Sebab frust? Apa? Ingat parents saya kasi ke tukar sekolah sebab tu?" jawab Lili.

            "Jadi memang betullah Lili dulu minat dekat Irfan ni?" soal wartawan itu.

            "Ya. Saya memang minat dekat Irfan dahulu. Tapi apakah itu menjadi satu isu besar? Semua orang pernah minat seseorang waktu zaman sekolah dan saya pun macamtu," jawab Lili.

            "Yang bab frust sampai pindah sekolah tu pulak?" soal wartawan itu.

            "Untuk budak-budak satu sekolah dengan saya dulu, di sini saya nak cakap. Saya pindah sekolah bukan sebab saya frust. Saya pindah sekolah sebab ayah saya kena transfer kerja dekat Penang serta-merta. Sebab tu, saya tak sempat nak pergi sekolah untuk uruskan hal perpindahan tu.Takkanlah saya frust sampai pindah sekolah dekat Penang tu? Ingat saya ni tak ada keluarga ke?" jawab Lili.

            "Lili rasa siapa yang hantar emel ni?" soal wartawan itu.

            Lili angkat bahu, "saya tak tahu. Tapi apa yang saya tahu, orang tu hantar emel ni sebab nak jatuhkan saya. Ataupun sebab cemburu dengan saya. Dan saya pasti orang tu salah seorang yang sama sekolah dengan saya dulu."

            "Irfan, sebagai seorang pemain bola muda yang begitu diminati ramai, apa pula yang awak rasa bila dengar semua gossip ni?" soal wartawan.

            "Saya rasa kelakar pun ada jugak. Orang yang hantar emel ni macam tak ada otak. Hantar emel secara melulu tanpa fikir apa-apa. Lili ni ada keluarga. Dan tak ada maknanya dia nak frust sebab saya. Pelik, kenapa masih ada orang macamni dekat dunia? Sebarkan fitnah untuk jatuhkan orang?" Irfan geleng kepala.

            "Lepastu ada pula khabar angin mengatakan Irfan dan Lili sedang hangat bercinta sekarang ni," ujar wartawan itu lagi.

            "Hangat bercinta? Kita tengah bercinta ke Fan?" Lili gelak.

            "Nama pun khabar angin. Jadi tak semestinya ia betulkan?" duga Irfan.

            "Tapi pokok takkan bergoyang kalau tak ada angin kan?" wartawan itu masih cuba memutar belitkan soalan.

            "Gambar saya dengan Irfan tengah makan tu yang buat orang lain fikir kitorang tengah bercinta kan? Tak semestinya saya makan dengan Irfan, saya bercinta," jawab Lili.

            "Habis kalau saya makan dengan Elfira Loy pun dianggap saya sedang bercinta dengan dia lah? Dan kalau dia makan dengan Hazama pun, mereka dianggap sedang bercinta lah? Tak semestinya kan. Tak salah seorang kawan keluar makan dengan kawannya. Lagi-lagi saya ni kawan lama Lili," ujar Irfan.

            "Semua gossip liar ni sebenarnya timbul sebab gambar saya dengan Irfan sedang makan tersiar dekat blog hiburan kan? Dan orang ramai pun mula membuat tanggapan yang kami bercinta. Saya tak salahkan sesiapa. Tapi cukuplah. Hentikanlah gossip-gossip liar macamni. Saya ni artis baru dan saya tak nak orang labelkan saya sebagai artis publisiti murahan. Saya nak orang kenal saya dengan bakat saya bukan sebab gossip-gossip macamni. Tolonglah hentikan. Saya dengan Irfan hanyalah kawan," terang Lili.

            "Soalan terakhir ek, Lili dengan Irfan memang tak nak menjadi lebih dari seorang kawan?" soal wartawan itu.

            "Sekarang ni saya selesa berkawan dengan Lili. Saya masih belum terfikir ke arah itu. Tapi kalau ada jodoh di antara saya dengan Lili, saya tak menolak. Kalau perasaan cinta tu tiba-tiba wujud di antara kami, saya tak menolak. Tapi perasaan tu belum wujud lagi. Kalau betul nak saya dengan Lili bercinta betul-betul, doakanlah kami. Tapi apapun sekarang ni saya dengan Lili hanyalah kawan," jawab Irfan.

            Lili tersentak. Jawapan Irfan yang agak bijak itu mungkin membuatkan mulut-mulut di luar sana tidak mempertikaikan hubungan mereka lagi. Tapi cara Irfan itu seperti memberinya harapan.

            "Jadi kalau nak tengok Irfan dengan Lili betul-betul bercinta, doakanlah mereka. Semua spekulasi-spekulasi liar sudahpun terjawab. Kita kembali ke studio," ujar wartawan itu menamatkan rakaman.

* * *

            "Siapa Natalia? Siapa perempuan tak sedar diri tu?"

            Semua mata tertumpu dekat wanita yang gayanya ala-ala Datin itu. Usianya mungkin sudah awal 50-an. Tapi gayanya membuatkan wajahnya kelihatan lebih muda dari usia.

            "Mana Natalia?" soal wanita itu lagi.

            Natalia yang sedang membuat kerja bangun. Dia melangkah ke arah wanita itu.

            "Saya, Natalia," jawab Natalia.

            Dan serentak itu satu penampar hinggap di pipi Natalia. Semua di pejabat itu terkejut. Natalia lagi lah.

            "Oh, kau ni memang perempuan tak sedar diri! Harap muka lawa tapi hati busuk!" tengking wanita itu.

            Natalia tahu itu isteri Dato' Farizal.Dari gayanya dia tahu itu isteri Dato' Farizal, Datin Farida.

            "Datin, kita bincang dekat luar. Ini tempat kerja saya. Tolong jangan buat kacau," ujar Natalia separa merayu.

            Jangan sampai semua orang dalam pejabat ni tahu perangai dia. Habis malu dirinya!

            "Oh sekarang kau tahu malu? Waktu bercinta dengan suami aku, kau tak tahu malu pulak? Dalam banyak-banyak lelaki, suami aku jugak yang kau himpit kenapa? Sebab dia banyak duit? Dasar perempuan mata duitan!" sekali lagi satu penampar hinggap di pipi Natalia.

            Air mata Natalia menitis. Sakit. Sungguh sakit. Tapi sakitnya itu tak boleh lawan dengan sakitnya hati wanita di hadapannya ini. Dia faham dan dia tahu dia memang patut mendapat semua ni. Semua kesakitan ini memang dia patut dapat.

            "Datin, saya tahu saya salah. Saya minta maaf sangat-sangat. Kita bincang dulu,tolonglah. Saya merayu dekat datin," ujar Natalia.

            "Peduli apa aku? Eii kalau ikut aku, memang aku bunuh je lah kau ni!" ujar Datin Farida.

            Datin Farida angkat tangan nak tampar Natalia. Natalia tutup mata. Lima saat menutup mata, pipinya masih belum terasa apa-apa. Natalia buka mata. Dia nampak Zizan di situ. Zizan yang menghalang tangan Datin Farida dari terus melekap ke pipinya. Zizan!

            "Datin, saya rasa banyak lagi cara untuk selesaikan hal ni selain gunakan kekerasan. Ya, saya faham datin tengah marah tapi dengan gunakan kekerasan, ia tidak dapat menyelesaikan apa-apa. Berbincanglah baik-baik dengan dia. Dan selesaikanlah apa yang patut. Tapi jangan gunakan kekerasan," Zizan cuba selamatkan keadaan.

            Natalia terpana mendengar kata-kata Zizan. Walaupun Zizan marahkan dia, bencikan dia tetapi Zizan masih mahu menyelamatkan dia dari dipukul oleh isteri Dato' Farizal ini.

* * *

            "Datin, saya minta maaf sangat-sangat. Saya tahu saya salah. Tapi percayalah cakap saya, saya dah putuskan hubungan dengan Dato'. Apa yang saya ambil dari dia semua saya dah pulangkan. Rumah, kereta, dan apa yang pernah dia beri kepada saya, saya dah pulangkan. Tolonglah Datin, saya minta maaf," rayu Natalia.

            "Kau ingat senang aku nak maafkan kau? Patutlah selama ni dia garang dengan aku. Buat endah tak endah dengan aku, rupa-rupanya dia selingkuh di belakang aku. Kata ada mesyuarat tetapi sebenarnya jumpa kau," marah Datin Farida.

            "Saya tahu untuk datin maafkan saya memang susah. Saya tahu. Saya memang perempuan berdosa. Perempuan kotor. Walaupun saya tahu Dato' dah kahwin, saya tetap tak tinggalkan dia. Saya memang kejam. Memang perempuan jahat. Tapi saya berani bersumpah dengan Datin, saya tak pernah serahkan mahkota saya kepada Dato," terang Natalia.

            Datin Farida diam.

            "Kalau Datin nak pukul saya, pukullah. Kalau Datin nak maki saya, makilah. Saya memang berhak dapat semua tu. Sekarang ni pun saya dah dihukum atas kesalahan saya tu. Orang yang saya cinta hina saya. Orang yang saya cinta buang saya dari hidup dia. Mungkin apa yang saya rasa ni tak setimpal dengan apa yang datin rasa, tapi apa yang saya rasa ni dah cukup membuat hati saya terseksa. Dan saya sendiri tak mampu bayangkan apa yang datin rasa. Saya menyesal, datin. Saya menyesal sangat-sangat," ujar Natalia lagi.

            Air mata Natalia menitis lagi. Air mata Datin Farida turut menitis.

            "Aku maafkan kau," ujar Datin Farida.

            Natalia terkejut. Secepat itu Datin Farida memaafkan dirinya?

            "Untuk apa aku simpan dendam dekat kau? Semua ni pun bukan salah kau seorang. Semua ni salah dia. Dan mungkin salah aku juga sebab selalu abaikan dia dulu. Selalu buat dia macam tak wujud," luah Datin Farida.

            "Terima kasih, Datin.Terima kasih. Saya doakan kesejahteraan Datin dengan Dato'. Saya doakan rumahtangga datin dan dato' bahagia," ujar Natalia.

            "Aku akan bercerai," ujar Datin Farida.

            Natalia terkejut lagi.

            "Aku tak mampu terima dia lagi setelah apa yang berlaku. Aku tak mampu untuk terus hidup dengan dia lagi," ujar Datin Farida lagi.

            Datin Farida bangun. Dan kemudian melangkah meninggalkan Natalia di situ seorang diri.

* * *

            "Kenapa dengan Natalia?" soal Johan.

            Zizan pandang Johan. Bahunya diangkat tanda dia tak tahu.

            "Malam semalam aku jumpa dia dekat perhentian bas. Waktu hujan lebat tu. Dia sorang-sorang dengan beg besar. Macam lari dari rumah," ujar Johan.

            "Lari dari rumah?" Zizan angkat kening.

            "Ha'ah. Dahlah waktu tu malam. Hujan pulak lebat nak mampus. Nasib baik aku lalu situ, jadi aku tumpangkan dia. Kalau tidak, aku tak tahulah apa jadi dengan dia," Johan sambung cerita.

            "Habis dia tinggal dekat mana?" soal Zizan.

            "Dekat rumah Dira," jawab Johan.

            Zizan hela nafas lega. Ada jugak rumah yang boleh dia tumpang.

            "Kau tak tahu ke? Kau kan kawan satu sekolah dengan dia dulu, takkan tak tahu kot?" soal Johan.

            "Dulu dengan sekarang tu berbeza," jawab Zizan perlahan.

            "Kau gaduh dengan dia ke?" Johan sibuk nak tahu.


            Zizan tak jawab. Malas dia nak jawab soalan Johan tu. Fikirannya lebih tertumpu dekat Natalia. Tadi wanita serang Natalia. Semalam Natalia lari dari rumah. Apa yang berlaku sebenarnya?

No comments:

Post a Comment